Sumbangan anda boleh disalurkan terus ke akaun Surau Al-Falah (CIMB): 1201 0000 2382 08 dan Kafa Al-Falah (CIMB): 12010004503208

01 November 2010

IBADAH KORBAN 1431 H


Kepada sesiapa yg berminat ingin melaksanakan ibadah qurban penyertaan masih terbuka.
sebarang pertanyaan boleh menghubungi no telipon yg tertera

20 September 2010

Takbir Raya di Kota Puteri seksyen 8 ( 2010 )

Di rumah Pakcik Halim

Di rumah saudara Kahar

Di rumah saudara Hanim

Di rumah saudara Bakhtiar

Di rumah Ustaz Ahmad


Takbir Hari Raya

Ini sebahagian cebisan gambar kenangan ketika ( baraan ) takbir raya yang diadakan setiap tahun di seksyen 8 kota puteri. Pada tahun ini ada sedikit penambahan ahli khariah yang mengikuti program.

Takbir raya akan berkumandang di setiap rumah ahli kariah yang mengikuti program ini. Ahli kariah akan dijamu dengan hidangan seadanya oleh tuan rumah.

tazkirah ramadan 2010


Telah disampaikan oleh YB Dr Zulkefly ( Ahli Parlimen Kuala Selangor )

Tazkirah ramadan oleh YB Parlimen Kuala selangor

ramadan 2010

07 July 2010

PRINSIP KEHIDUPAN







20 June 2010

Membentuk Keluarga Bahagia




cebisan ceramah yg disampaikan oleh Dato' Siti Nurbaiyah dan Ustaz Wan Akqasah

Islam dan Dakwah




cebisan ceramah yang diadakan di surau Al Falah seksyen 8 Kota Puteri

14 May 2010

CERAMAH BULANAN

PROGRAM: Ceramah Bulanan

TAJUK: Islam & Dakwah

PENCERAMAH: Sdr Azmil Mustaffa (Pendakwah bebas)

TARIKH: 20 Mei 2010

MASA: LEPAS ISYAK

TEMPAT: Surau Al Falah, Seksyen 8, Kota Puteri.

Muslimin dan muslimat dijemput hadir.


14 April 2010

Titian Kasih

Sempena dengan musim cuti persekolahan yang baru lalu, seramai 40 peserta terdiri daripada para remaja telah mengikuti program Titian Kasih bertempat di Kampung Orang Asli Kuala Kerling. Kampung ini terletak kira-kira 11 km dari bandar Kerling. Ia dihuni oleh kira-kira 200 orang penduduk dengan 61 orang daripadanya adalah beragama Islam.


Program Titian Kasih itu adalah anjuran bersama JKKK Batu Arang, Kelab Remaja Surau Al-Falah Kota Puteri, Masjid Jamek Batu Arang dan Pejabat Penghulu Mukim Rawang 1.

Menurut Setiausaha JKKK Batu Arang, Tuan Haji Rafie Yob, program ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan remaja kepada kehidupan masyarakat orang asli, selain menimba pengalaman dalam menyebarkan dakwah kepada masyarakat.

“Para peserta diingatkan agar sentiasa menghormati orang-orang tua dengan bersalam dan bertegur sapa, serta sentiasa senyum agar mereka tertarik dengan keindahan ajaran Islam,” tegas beliau.

Pelbagai aktiviti diatur sepanjang program dua hari satu malam itu, antaranya program ziarah penduduk, kuliah Maghrib, sukaneka bersama penduduk setempat dan persembahan kebudayaan.




Kanak-kanak orang asli



Wajah-wajah anak orang asli

Beramah mesra dengan pemuda orang asli

Makan malam : Anak orang asli (atas) dan
Peserta dari Sekolah Tahfiz Tasik Puteri (bawah)


Puan Ton (kanan) dan Puan Yati (kiri) bersama warga emas orang asli

Imam Masjid Kerling turut hadir memeriahkan majlis

Dari kiri: En Zainal Abidin Mat (pegawai JHEOA Hulu Selangor),
Haji Rafie, SM Yusof (Ketua Balai Polis Kerling) dan
Sdr Taufik (Tok Batin - orang pertama memeluk Islam)

Kuliah Maghrib disampaikan oleh Ustaz Zulkefli Dawam,
Pegawai Masyarakat Orang Asli Kuala Kerling


PERSEMBAHAN KEBUDAYAAN

Acara Sewang - persembahan oleh masyarakat orang asli
dari sempadan Perak


Zikir & Selawat - Pelajar tahfiz Tasik Puteri

Kompang - remaja Kota Puteri

SUKANEKA BERSAMA ANAK-ANAK ORANG ASLI





INI KAWASAN KAMI!


Mudah-mudahan suatu hari nanti, sinar Islam akan menyinari bumi di sini, insya-Allah.

15 March 2010

Syafaat Uzma Untuk Umat Akhir Zaman

Rasulullah telah lama wafat. Pastinya umat Muhammad s.a.w. zaman kini tidak dapat menyaksikan syafaat sugra sepertimana yang pernah berlaku pada zaman bermulanya Islam yang telah menyatukan kaum Ansar dan Muhajirin dan kejayaan menyebarkan Islam ke seluruh dunia.

Menurut seorang pendakwah bebas, Ustaz Hj Hasan Mahmud Al-Hafiz, untuk umat akhir zaman ini, Nabi s.a.w. menjanjikan syafaatnya kepada mereka yang benar-benar menjalani kehidupan menurut sunnahnya, mengamalkan setiap ajaran Islam dan bersungguh-sungguh berselawat ke atasnya.

“Syafaat yang Rasulullah maksudkan ini ialah syafaat uzma iaitu syafaat yang Nabi beri pada hari akhirat kepada umat yang terpilih,” katanya.

Syafaat ini adalah sebagai tanda sayangnya Nabi s.a.w. kepada seluruh umatnya, lebih-lebih lagi umat yang tidak pernah melihatnya tapi beriman sungguh-sungguh dengannya, iaitu umat akhir zaman, umat masa kini hinggalah menuju hari kiamat.

Ustaz Hj. Hasan berkata, untuk mendapat syafaat uzma Nabi s.a.w., kita hendaklah membanyakkan istighfar dan bertaubat memohon keampunan kepada Allah bersungguh-sungguh melalui tiga proses:

1. Takhalli – mesti bersihkan diri sungguh-sungguh dari segala dosa. Berjanji tidak akan mengulangi segala kejahatan yang pernah dilakukan sama ada dosa kecil atau dosa besar.

2. Tahalli – mengisi dalam diri dengan memperkemaskan amal ibadah wajib,
memperbanyak amalan sunat, banyakkan selawat ke atas Nabi s.a.w. dan solat malam semoga terbuka hijab di antara kita dengan Allah. Allah sayang, Nabi pun sayang.
Mengamalkan puasa sunat juga dapat menyucikan batin (hati) kerana hati yang sakit sukar mendapat pertolongan Allah. Jika hati sihat dan bersih, minta apa pun akan mudah dimakbulkan oleh Allah.

3. Tajalli – penghayatan, merasakan Allah berada di mana-mana sahaja, rasa diri diperhatikan-Nya setiap saat dan ketika. Buat apa sahaja ingat Allah, ingat Rasulullah. Seakan ternampak malaikat Rakib dan Atid yang menjaga diri mencatat setiap perbuatan.

Rindu dan kasih pada Allah dan Nabi ibarat orang yang kenal buah; dapat dipegang, dapat dirasa dan terus ingat kepada Penciptanya. Tahap ini buat apa pun asyik ingat Allah. Kasih pada Allah sangat mendalam.

Melihat wajah orang yang rindu kasih pada Allah hati kita jadi tenang. Umpama penawar.

(petikan majalah Anis)

07 March 2010

CERAMAH MAULIDUL RASUL

Penceramah: Ustaz Ahmad Qartubi Bin Masduqi

Tarikh: 11 Mac 2010 / Khamis

Masa: Lepas Maghrib

Muslimin dan muslimat dijemput hadir.

Mudah-mudahan program ini akan dapat memperbaharui kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Insyallah.




Teks Seterusnya

PENGARUH SEORANG SURI RUMAH

OLEH USTAZ AMALUDDIN MOHD NAPIAH
Seorang ibu itu mempunyai darjat tiga kali lebih tinggi daripada darjat seorang bapa.

Ini dapat disimpulkan daripada apa yang disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.

Kedudukan ini harus difahami dan dibanggai oleh setiap wanita yang bergelar ibu.



Dalam hadis yang lain pula baginda menyebutkan lagi bahawa syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Ini bermakna, masuknya seorang anak ke dalam syurga itu bergantung di atas keredhaan ibunya.

Redha ibu, maka redhalah Allah. Murka ibu, maka murkalah Allah. Lihatlah betapa Allah memuliakan seorang insan yang bergelar ibu sampai menjadikan keredhaan-Nya bersyaratkan keredhaan ibu.

Manakala dalam satu hadis mashyur yang lain, wanita (isteri) dikatakan sebagai ‘pemimpin’ di rumah atau ‘pentadbir’ di dalam pentadbiran ‘kerajaan’ suaminya.

Keterangan-keterangan hadis ini sebenarnya boleh menjadi motivasi dan penawar kepada setiap ibu dan isteri, khasnya ibu dan isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa.

Mereka patutlah berasa syukur dan bergembira dengan medan ibadah, jihad, pahala dan amal soleh yang luas yang diperuntukkan Allah s.w.t. khas buat mereka.

Saya sebut begitu kerana kedapatan suri rumah sepenuh masa yang dibumbu rasa jemu, lesu atau beranggapan khidmat dan pengorbanan yang dicurahkan terhadap keluarga selama ini sia-sia sahaja (tiada nilai apa-apa di sisi agama.)

Sekiranya mereka tahu ganjaran besar Allah di atas khidmat, kasih sayang dan pengorbanan mereka itu, nescaya ada di kalangan mereka nanti yang akan memohon kepada Allah agar dikembalikan sekali lagi ke atas dunia sesudah kematian pertama.

Supaya mereka dapat menjadi ibu yang terbaik untuk kesekian kalinya. Pelik, bukan?

Sepanjang sejarah, terdapat ibu-ibu yang begitu arif tentang kedudukan, peranan dan tanggungjawab mereka.

Di tangan ibu-ibu yang arif ini lahirnya insan-insan agung seperti para nabi dan rasul, Sahabat-sahabat dan para muttaqin yang mulia seperti Sayidina Hasan dan Husin r.a., Imam as-Syafi’i, Solahuddin al-Ayubi, al-Farabi, al-Khawarizmi, Imam Malik, Imam al-Ghazali, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dan ramai lagi.

Insan-insan agung ini mempunyai pengaruh yang besar dalam mencorak masyarakat pada zaman masing-masing dan sesetengahnya masih dirujuk serta diteladani zaman-berzaman.

Ini menggambarkan juga pengaruh besar wanita di belakang tabir yang melahirkan, menyusui dan membesarkan mereka.

(Rencana Ihsan Majalah Anis)


26 February 2010

TITIAN KASIH

Program:
Titian Kasih Bersama Orang Asli
Kg Kuala Kerling, Hulu Selangor

Tarikh:
13 - 14 Mac 2010

Anjuran:
JKKK Batu Arang
Kelab Remaja Surau Al-Falah Kota Puteri
Masjid Jamek Batu Arang

Dengan Kerjasama:
Pejabat Penghulu Selangor Rawang
JHEOA Hulu Selangor
Majlis Aagama Islam Selangor Hulu Selangor
Peg Masyarakat Orang Asli hulu Selangor (PMOA JKIM)

Pengangkutan disediakan.

Sesiapa berminat, sila hubungi pihak Surau atau Tuan Haji Rafie.



Teks Seterusnya

23 February 2010

KESILAPAN WANITA TENTANG AURAT

OLEH USTAZ ZAHARUDDIN ABD RAHMAN.
Semasa saya memberikan kuliah kepada satu kumpulan wanita yang terdiri dari golongan professional termasuk para Datin di satu daerah, ketika itu, sedang heboh isu wanita seksi ditangkap di sebuah kelab malam.

Lalu timbul isu hak peribadi wanita untuk memakai apa jua pakaian yang diingininya, termasuk yang seksi. Lalu, semasa kuliah ini saya mengambil peluang bertanya kepada kumpulan wanita ini soalan mudah berikut :-

"Apakah agaknya sebab wanita ingin memakai seksi dikhalayak ramai? Dengan skirt pendek, atau baju sendat dan nipis?"

Ada di antara mereka mula memberikan pandangan, tetapi kerana terlampau ramai yang bercakap, saya tidak mendengar butirannya. Apabila saya meminta seorang wakil, seorang menjawab dengan yakin.

"Untuk nampak cantik ustaz..." katanya sambil tersenyum malu.

Saya bertanya pula : "Agaknya kepada siapa nak ditunjukkan kecantikan itu?"

"Tentulah kepada kaum lelaki ustaz, kaum wanita pun iye juga.." sambungnya.
"Baiklah, jika lelaki tersebut sudah tergoda dengan kecantikan tu, lalu ingin menyentuh bahagian indah yang dilihatnya boleh tak?" Tanya saya menguji.

"Isy, ustaz ni... tentulah tak boleh ustaz, dah kira ‘sexual harassment' (gangguan seksual) tu ustaz" dengan yakin sekali hujjahnya kali ini.

"Jika demikian, tidakkah para wanita merasakan, tindakan mereka yang memaparkan bahagian yang menarik di tubuh mereka itu juga merupakan gangguan seksual kepada lelaki?" Tambah saya.

"Er, macam mana tu ustaz?" Tanya mereka dengan nampak sedikit bingung sambil berkerut dahi.

"Yalah, bila orang lelaki yang dah naik syahwatnya tu, kerana kecantikan peha wanita tu contohnya, mestilah terganggu syahwatnya. Lalu terdetik keinginan seksualnya secara tidak terkawal".

"Kerana itu saya katakan berpakaian seksi adalah suatu bentuk gangguan seksual kepada orang lelaki di sekelilingnya"

"Cuba bayangkan, kucing yang lapar diacah-acah dengan ikan ‘fresh' yang digoyang-goyankan di hadapannya tentu geram kucing tu, malah silap haribulan, tentu diterkamnya muka orang yang mengacah juga" Tambah saya lagi memberi keyakinan.

"Tapi perlu diingat, tak semua kucing akan terkam, hanya yang amat lapar dan liar je, demikian juga lelaki, tak semua lelaki gagal kawal nafsunya, tetapi tak dinafikan bahawa ramai juga yang gagal dan liar"

"Akhirnya, kerana suasana yang tak sesuai, mungkin kerana ramai orang dan di tempat awam pula, terselamatlah wanita seksi itu dari terkaman lelaki liar tadi. Masalahnya, anak-anak perempuan kecil berumur 7 hingga 12 tahun yang mungkin menjadi mangsa tempiasan nafsu lelaki begini. Dan di ketika itu, sama ada wanita itu bertudung, berjubah, kanak-kanak dan sebagainya tidak lagi mampu menahan nafsu si lelaki seperti ini, asalkan suasana cukup sesuai (sunyi dan jauh dari pandangan ramai), akan dilepaskan nafsunya secara kekerasan." Terang saya dengan panjang lebar, mereka mengganguk dengan wajah serius kali ini.

Lebih terangnya, sama-sama fikirkan adakah jika para wanita yakin bahawa jika anda berada di hadapan Baginda SAW hari ini, adakah Rasulullah akan tersenyum atau sebaliknya? Jika sebaliknya, bagaimana pula peluang wanita seperti ini untuk mendapat Syafaat Nabi SAW di akhirat kelak?

Benar, mungkin seseorang wanita itu berjaya meraih pandangan istimewa dari kaum lelaki hasil pendedahan kecantikannya yang memukau. Tapi keseronokan itu hanyalah palsu dan sementara sahaja, serta tidak menambah sebarang nilai buat kehidupan kekal di Barzakh dan Akhirat selain menambahkan tahap azab sahaja.

Apa yang jelas, pakaian yang ditunjukkan oleh wanita Arab yang solehah dengan penutupan aurat yang sempurna di zaman ini sudah tentu boleh memberi sedikit info kepada kita bahawa inilah mungkin pakaian yang dipakai oleh wanita Islam di zaman Nabi serta mendapat redha dari mata dan hati baginda SAW. Tidakkah para wanita hari ini juga berminat meraih redha dari mata dan hati baginda SAW?

BENARKAH MENUTUP AURAT DAPAT MENGELAK DARI WANITA DISAKITI?

Ramai wanita professional dan yang kurang didikan agama hari ini mencebik bibirnya apabila tajuk ini disebutkan. Mereka tidak percaya langsung fakta yang saya sebut di atas. Malah ada yang berpendapat lelaki sengaja melakukan perkara buruk kepada wanita kerana ingin menunjukkan kekuasaannya terhadap wanita. Kerap benar saya dengar hujah ini di media massa.

Hakikatnya, sebagai hamba Allah SWT dan umat Rasulullah SAW kita diajar untuk merujuk Al-Quran dan Al-Hadith bagi mendapat kepastian tentang baik buruk dan benar salahnya sesuatu perkara itu.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman :

"Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua, hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu." (al-Ahzab: 59)

"Wahai Nabi, suruhlah isterimu, anak perempuanmu serta wanita-wanita yang beriman, agar melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya; Yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali, maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Al-Ahzab: 59]

Jilbab, iaitu pakaian yang lebarnya semacam baju kurung untuk dipakai oleh kaum wanita bagi menutupi tubuh badannya.

Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menerangkan "Sebahagian perempuan Jahiliah apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan sebahagian kecantikannya, misalnya dada, leher dan rambut, sehingga mereka ini diganggu oleh laki-laki fasik (jahat) dan yang suka berzina. Kemudian turunlah ayat di atas yang memerintahkan kepada orang-orang perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu tidak kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu akan dikenali sebagai wanita yang terpelihara (‘afifah) serta tidak mudah diganggu oleh orang-orang yang suka kejahatan atau orang-orang munafik.

Jadi jelasnya, bahawa ayat tersebut memberikan ‘illah (alasan) utama perintah ini iaitu kerana bimbang wanita muslimah diganggu oleh orang-orang fasik dan menjadi perhatian orang-orang yang suka berzina. Bukanlah ketakutan yang timbul dari perempuan itu sendiri atau kerana tidak percaya kepada mereka sebagaimana anggapan sebahagian orang, tetapi ia adalah kerana sebahagian wanita yang suka menampakkan perhiasannya, berjalan dengan penuh lenggang lengguk dan bicaranya dibuat-buat manja, sering menarik perhatian nafsu lelaki dan menjadikannya sasaran orang-orang yang suka berzina. (Petikan dari kitab Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit pindaan)

Ayat ini juga jelas menunjukkan bahawa salah satu target utama menutup aurat yang diletakkan oleh Allah SWT adalah sebagai kaedah dan cara terbaik bagi mengelakkan wanita Islam dari diganggu dan disakiti.

BANTAHAN KAUM WANITA

“Eleh.., hari ini ramai juga wanita bertudung yang kena rogol, malah sesetengahnya kena bunuh dijerut dengan tudungnya pulak! Kanak-kanak pun kena rogol dan dibunuh. Ini maknanya, tudung bukan lagi penyelamat la ustaz. Ha..macam mana ustaz nak jawab tu?” Hujah balas yang selalu saya dengar bila isu ini ditimbulkan.

“Pernah tak anda merasa amat marah sepanjang hidup anda?” Tanya saya kembali.

“Pernah juga ustaz. Kenapa ustaz? Apa kaitannya?" Bingung sekali lagi mereka nampaknya.

“Biasanya bila seseorang itu sedang amat marah, sempat tak agaknya dia berfikir bahaya atau tidak tindakan yang dibuatnya? Sebagai contoh, ada orang yang sedang marah kerana bising tangisan kanak-kanak, maka ditendang (seperti berita yang saya baca di akhbar baru-baru ini), ditolak jatuh tangga, ditekup wajah kanak-kanak itu dengan bantal dan macam-macam lagi bagi menghilangkan kemarahan atau gangguan bising itu. Setelah beberapa ketika mungkin baru seolah-olah dia tersedar, lalu cemas dan mungkin menyesal.”

“Demikianlah juga nafsu jahat. Bila ia berada di tahap tinggi, ia tidak lagi melihat sama ada kepada pakaian atau umur wanita mahupun isteri orang di hadapannya. Sasarannya hanyalah untuk memenuhi hajat jahatnya. Sebab itulah wanita yang menutup aurat dengan sempurna serta kanak-kanak perempuan juga terancam. Juga tidak dapat dinafikan pengaruh vcd, laman web, akhbar, majalah dan novel lucah,” terang saya.

“Tapi macam mana pulak ayat tadi kata tutup aurat dapat mengelakkan wanita dari disakiti ?” Balas mereka dengan penuh minat kali ini.

"Jika kita lihat dengan teliti, ayat tadi sebenarnya ditujukan kepada seluruh kaum wanita. Ini bermaksud, jika sebahagian besar wanita tidak mentaatinya dan memakai pakaian seksi pula. Di ketika itu, faedah dan kebaikan dari tutup aurat bagi menjaga semua kaum wanita dari disakiti secara umum akan tergugat dari mencapai matlamat umumnya. Sebenarnya, ayat itu nak beritahu bahawa seluruh wanita bertanggung jawab menjaga keselamatan kaum sejenisnya dengan menjaga aurat masing-masing," jelas saya.

"Maka bila ada yang seksi, ini bermakna, dia sedang mengancam kaum sejenisnya yang lain dan di tempat lain kerana telah menghidupkan nafsu kebinatangan lelaki jahat yang sedang tidur."

PENGALAMAN MENUMPANG KE MASJID

Saya masih ingat, dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Ibu Negara. Pejabat saya di Jalan Sultan Ismail dan pada hari tersebut saya menumpang kereta seorang rakan. Bersama kami beberapa rakan sekerja yang lain.

Tiba-tiba semasa berada di lampu trafik, suasana dalam kereta agak bising dengan bunyi... uii... oii... peh... mengancam... dan sebagainya, diikuti dengan kata-kata :

"Astaghfirullah... korang ini teruk betullah, kan ustaz ada dengan kita ini." Kemudian disambut dengan kata rakan di belakang, “Ye la.. inilah bagusnya kita pergi masjid dengan ustaz, terjaga sikit."

Anda tentu dapat menggagak apa yang dilihatnya, bukan? Alhamdulilllah saya tidak sempat melihat apa-apa kerana sedang membelek pelbagai mesej soalan hukum-hakam tertunda yang memenuhi telefon bimbit saya.

Bila saya tanya, kenapa? Dengan malu-malu mereka menyalahkan sesama sendiri akibat ‘gatal mata' melihat skirt-skirt pendek wanita KL, sama ada wanita Melayu mahupun Cina di sekitar kawasan segitiga emas itu.

Cuba bayangkan, perasaan lelaki-lelaki ini. Mereka dalam perjalanan ke masjid, semuanya juga telah berumahtangga, tapi nafsu masih terangsang apabila didedahkan kepada pemandangan seperti itu. Jahatkah mereka?

"Gatal dan dah miang sangat kot orang lelaki ni, memang teruk mereka ni. Tak sangka, harap suami kita tak macam ni," mungkin itulah yang akan dikatakan oleh sebahagian besar pembaca wanita sekarang ini.

Tapi itulah cabaran terbesar lelaki wahai kaum wanita, iaitu ANDA, wanita dan seluruh kecantikan yang dikurniakan Allah SWT kepadanya sebagai ujian, ia disebutkan oleh Allah SWT:
Ertinya : Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga). ( Al-Imran : 14 )

Ayat ini dengan jelas menyebut syahwat utama lelaki adalah pada wanita.

Nabi SAW juga pernah bersabda : "Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita" (Riwayat Al-Bukhari, 7/11, bab Zikir & Doa )

ANTARA LAWAK & HUKUM

Saya juga masih ingat, sewaktu di tempat lama, rakan-rakan sepejabat sering kali apabila mereka terlihat aurat wanita sebegini akan disebut, "Tak apa ustaz kan? Pandangan pertama tak berdosakan?"

Sedih saya melihat sikap sebahagian umat Islam hari ini yang kerap mempermainkan hukum-hakam akibat kejahilan mereka.

Sebuah hadis: "Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah SAW tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!" (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi) - Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya sebagainya datang dalam hadith Nabi kepada Sayyidina Ali r.a.

Apabila ia adalah sebuah hukum, maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan apa jua berkaitan dengannya.

Nabi SAW bersabda : "Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat" (Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)

KESILAPAN KERAP WANITA TENTANG AURAT

Ketika ini, saya mengambil masa sekitar satu jam untuk ke pejabat, memandu kereta dari Puchong ke Jalan Sultan Ismail. Setiap hari, laluan jalan pergi dan pulang ini akan mempamerkan kejahilan wanita Islam hari ini tentang penutupan aurat. Di manakah kesilapan penutupan aurat wanita hari ini ?

Jawabnya seperti berikut :-

KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.
KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.
KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.
KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh dilihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.

Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali.

Asasnya adalah dari firman Allah SWT: "Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHKAN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR." (an-Nur: 31)



PETIKAN BUKU "UNTUKMU WANITA" - USTAZ ZAHARUDDIN ABD RAHMAN. IHSAN GALERI ILMU SDN BHD

22 February 2010

BULETIN JULAI 2009

Klik gambar untuk baca






16 February 2010

12 February 2010

BULETIN APRIL - JUN 2009

KLIK GAMBAR UNTUK BACA


BULETIN JAN - MAC 2009


KLIK GAMBAR UNTUK BACA



MS 2

MS 3



10 February 2010

MEMORI 2007

Inilah sebahagian aktiviti surau...

29 January 2010

MENCARI PERLINDUNGAN DI BAWAH ARASY

“Di Padang Mahsyar nanti, ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Arasy.

"Selain daripada mereka, kesemuanya akan berada di bawah panas terik matahari yang jaraknya sejengkal di atas kepala,” demikian kata Ustaz Ahmad bin Muhammad, Imam dan juga Pengerusi Jawatankuasa Surau Al Falah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah Maghrib dwimingguan (bacaan Hadis daripada Kitab Penawar Hati) di Surau Al Falah.

Kuliah Maghrib ini diadakan pada malam Isnin minggu pertama dan ketiga setiap bulan.

Padang Mahsyar amat panas. Kepanasannya tidak sama dengan panas di atas muka bumi ini. Kalau panas di sini, kita masih boleh berlindung di bawah pokok atau di sebalik bayang tiang elektrik.


Panasnya di sana bukan sahaja kerana ketika itu matahari berada sejengkal di atas kepala, tetapi juga kerana seluruh manusia, daripada zaman Nabi Adam as hinggalah manusia yang terakhir meninggal semasa Kiamat berlaku kelak, dikumpulkan.

Manusia akan berada dalam keadaan bersesak-sesak, berhimpit-himpit, berasak-asak, bersusun-susun, bertindih-tindih. Tanpa mengira agama, bangsa, negara, darjat, pangkat atau keturunan.

Di kalangan manusia itu, ada yang berpeluh-peluh… Ada yang peluhnya hingga ke buku lali. Ada yang peluhnya hingga ke betis. Ada yang peluhnya hingga ke lutut. Ada yang peluhnya hingga ke pinggang. Ada yang peluhnya hingga ke pusat. Ada yang peluhnya hingga ke dada. Ada yang peluhnya hingga ke dagu. Ada yang peluhnya hingga ke bibir. Dan ada yang tenggelam dalam peluh!

Mengapa ketika itu manusia berpeluh?

Manusia berpeluh bukan kerana bahang panas matahari yang berada sejengkal atas kepala. Bukan kerana berhimpit-himpit dan bersesak-sesak. Tapi manusia berpeluh-peluh kerana teramat takut. Takut yang teramat sangat kepada kemurkaan ALLAH Taala.

Takut kerana setiap amalan dan perbuatan kita semasa di dunia dahulu, akan dibongkar. Ia akan dipertontonkan kepada semua manusia satu persatu! Tidak tercicir catatan Malaikat Rakib dan Atib itu walau sesaat atau sebesar zarah sekalipun… Ketika itu semua manusia akan tahu siapa sebenarnya kita semasa di dunia dahulu.

Berapa lamakah manusia akan berada dalam keadaan tersebut sebelum dijemput masuk ke Syurga atau dihumbankan ke dasar Neraka?

“Agak-agaknya berapa lama kita menunggu? Sehari? Dua hari? Setahun? 100 tahun?” tanya penceramah.

“Kalau sehari, atau dua hari boleh tahanlah juga. Tapi kita nak kena ingat, sehari di Sana bersamaan dengan 1,000 tahun di dunia ini! Dua hari di akhirat maknanya bersamaan 2,000 tahun masa di dunia. Bagaimana kalau berhari-hari atau bertahun-tahun kita terpaksa menunggu di Padang Mahsyar? Sanggup?” soalnya lagi.

“Ada manusia yang sanggup. Mereka sanggup kerana mereka berada dalam keadaan tenang, aman, nyaman, sejuk. Siapa mereka? Mereka adalah salah seorang daripada 7 golongan yang bertuah tadi,” Ustaz Ahmad mengakhiri kuliahnya.

CATATAN KAKI
Daripada Abi Hurairah (ra) bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Ada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindungan-Nya:Imam (pemimpin) yang adil.
• Pemuda yang sentiasan taat kepada Allah (bertakwa)
• Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid (taat kepada perintah Allah)
• Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah.
• Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik untuk melakukan maksiat (zina), lalu ia berkata: “Aku takut kepada Allah”.
• Orang yang bersedekah secara sembunyi dan tidak menunjuk-nunjuk (ditamsilkan sebagai tidak mengetahui tangan kirinya apa yang diberi oleh tangan kanannya)
• Orang yang bermunajat kepada Allah sambil menggelinangkan airmatanya.
[Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim]

15 January 2010

AJK SURAU AL-FALAH KOTA PUTERI


Senarai Ahli Jawatankuasa Surau Al Falah Seksyen 8 Kota Puteri


Pengerusi: Us Ahmad b. Mohamed

T/ Pengerusi: Muliadi b. Ramli

Pemangku Setiausaha: Mohd Izuddin Yusuf

Timbalan Setiausaha: Abdul Ghani Abdullah

Bendahari: Zamri b. Esal

Ahli Jawatankuasa:

* Rosman b. Abdul Kadir
* Qamaruzzaman b. Khalik
* Kamaruddin M Shah
* Saifullizan b. Muhamad Anuar
* Mohd Shahril Izwan b. Jamaluddin
* Mohd Izuddin Yusuf
* Ishak M Isa
* Rafidah Bt Mispan (Wakil Muslimat)
* Salmah Bt Ismail

Pemeriksa Kira-kira

* Rizal Zakaria
* Jamali Jahaya

Pegawai Surau Al Falah:

Imam

* Us Ahmad b. Mohamed
* Banuri Iqbal Abd Latif
* Hj Ahmad Rafie
* Qamaruzzaman Khalik

Bilal

* Bakhtiar Tuah b. Sharif
* Hasrizam Hairoman
* Muliadi Ramli

Siak

* Mohd Hanim b. Mohd Haimi
* Mohd Izham b. Ali

03 January 2010

SELAMAT BERKUNJUNG...


Kota Puteri bakal menjadi satu lagi mercu tanda kejayaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam pembangunan sektor hartanah.

Apabila kawasan pembangunan baru ini, yang merangkumi keluasan 820 hektar, siap sepenuhnya menjelang 2020, Kota Puteri dijangka berupaya menempatkan sejumlah 50,000 penduduk.

Kewujudannya membuktikan usaha kerajaan negeri ke arah mengimbangi pembangunan di luar Lembah Klang sekali gus menjadi nukleus penggerak pembangunan di Koridor Utara Selangor.

Kota Puteri, yang mula dibangunkan pada 1991, dirancang begitu terperinci berasaskan pembangunan bercampur yang merangkumi perumahan pelbagai jenis, prasarana yang mencukupi, perdagangan dan institusi, serta kemudahan asas yang moden.



ANUGERAH ALAM

Dengan kedudukannya yang strategik antara Kuala Selangor, Batu Arang dan Shah Alam yang sedang mengalami kerancakan pembangunan, Kota Puteri adalah satu pembangunan yang menjanjikan lebih daripada hanya sebuah tempat tinggal.

Dengan lokasi yang dikelilingi hutan dara menghijau, perbukitan saujana mata memandang, pokok yang rendang merimbun serta pemandangan sekeliling yang indah lagi nyaman, Kota Puteri adalah anugerah alam yang mendamaikan.

Ciri-ciri alam sekitar ini bukan sahaja menarik perhatian penghuni yang bakal mendiami kawasan ini, malah sang unggas dan serangga daripada pelbagai spesies rama-rama yang berwarna-warni juga tertarik dengan kelainan ini.

LOKASI IDEAL

Kedudukannya di Batu Arang, Daerah Gombak di sebelah barat Pekan Rawang dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) memberikan Kota Puteri lokasi strategik serta mudah dihubungi melalui rangkaian lebuh raya yang cekap.

Selain Lebuh Raya PLUS, Kota Puteri dihubungkan dengan Jalan Kuala Selangor-Sungai Buloh dan Kuala Lumpur- Bestari Jaya-Rawang, Lebuhraya Guthrie Koridor ke Shah Alam, Jaringan Lebuhraya Shah-Alam-Batu Arang dan Lebuhraya Assam Jawa-Batang Berjuntai, yang masih dalam pembinaan. Dengan rangkaian lebuh raya tersebut, perjalanan ke Kuala Lumpur hanya mengambil masa 45 minit sahaja.

Lokasi yang selesa dan mudah dituju adalah ciri pelaburan yang bijak. Sama ada sebagai rumah kediaman sekeluarga atau untuk pelaburan masa depan, ia menjanjikan pulangan yang menguntungkan.

Di Kota Puteri juga, para penduduk berpeluang menikmati segala kemudahan asas yang menjanjikan kehidupan selesa. Dengan kampus institusi pengajian tinggi Universiti Industri Selangor (UNISEL) dibina berhampiran dan kemudahan rekreasi di tasik yang menawan, penduduk akan didampingi suasana santai tetapi teratur dan ceria.

Lebih menggembirakan, semua elemen pembangunan yang dirancang tidak mengabaikan aspek alam sekitar dan kejiranan. Dengan itu, penduduk Kota Puteri dapat menikmati kehidupan moden dalam suasana kedesaan yang tenang dan harmoni. Ini sukar ditemui dalam satu pembangunan baru yang komprehensif.

Sumber: Bernama.