Sumbangan anda boleh disalurkan terus ke akaun Surau Al-Falah (CIMB): 1201 0000 2382 08 dan Kafa Al-Falah (CIMB): 12010004503208

29 January 2010

MENCARI PERLINDUNGAN DI BAWAH ARASY

“Di Padang Mahsyar nanti, ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Arasy.

"Selain daripada mereka, kesemuanya akan berada di bawah panas terik matahari yang jaraknya sejengkal di atas kepala,” demikian kata Ustaz Ahmad bin Muhammad, Imam dan juga Pengerusi Jawatankuasa Surau Al Falah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah Maghrib dwimingguan (bacaan Hadis daripada Kitab Penawar Hati) di Surau Al Falah.

Kuliah Maghrib ini diadakan pada malam Isnin minggu pertama dan ketiga setiap bulan.

Padang Mahsyar amat panas. Kepanasannya tidak sama dengan panas di atas muka bumi ini. Kalau panas di sini, kita masih boleh berlindung di bawah pokok atau di sebalik bayang tiang elektrik.


Panasnya di sana bukan sahaja kerana ketika itu matahari berada sejengkal di atas kepala, tetapi juga kerana seluruh manusia, daripada zaman Nabi Adam as hinggalah manusia yang terakhir meninggal semasa Kiamat berlaku kelak, dikumpulkan.

Manusia akan berada dalam keadaan bersesak-sesak, berhimpit-himpit, berasak-asak, bersusun-susun, bertindih-tindih. Tanpa mengira agama, bangsa, negara, darjat, pangkat atau keturunan.

Di kalangan manusia itu, ada yang berpeluh-peluh… Ada yang peluhnya hingga ke buku lali. Ada yang peluhnya hingga ke betis. Ada yang peluhnya hingga ke lutut. Ada yang peluhnya hingga ke pinggang. Ada yang peluhnya hingga ke pusat. Ada yang peluhnya hingga ke dada. Ada yang peluhnya hingga ke dagu. Ada yang peluhnya hingga ke bibir. Dan ada yang tenggelam dalam peluh!

Mengapa ketika itu manusia berpeluh?

Manusia berpeluh bukan kerana bahang panas matahari yang berada sejengkal atas kepala. Bukan kerana berhimpit-himpit dan bersesak-sesak. Tapi manusia berpeluh-peluh kerana teramat takut. Takut yang teramat sangat kepada kemurkaan ALLAH Taala.

Takut kerana setiap amalan dan perbuatan kita semasa di dunia dahulu, akan dibongkar. Ia akan dipertontonkan kepada semua manusia satu persatu! Tidak tercicir catatan Malaikat Rakib dan Atib itu walau sesaat atau sebesar zarah sekalipun… Ketika itu semua manusia akan tahu siapa sebenarnya kita semasa di dunia dahulu.

Berapa lamakah manusia akan berada dalam keadaan tersebut sebelum dijemput masuk ke Syurga atau dihumbankan ke dasar Neraka?

“Agak-agaknya berapa lama kita menunggu? Sehari? Dua hari? Setahun? 100 tahun?” tanya penceramah.

“Kalau sehari, atau dua hari boleh tahanlah juga. Tapi kita nak kena ingat, sehari di Sana bersamaan dengan 1,000 tahun di dunia ini! Dua hari di akhirat maknanya bersamaan 2,000 tahun masa di dunia. Bagaimana kalau berhari-hari atau bertahun-tahun kita terpaksa menunggu di Padang Mahsyar? Sanggup?” soalnya lagi.

“Ada manusia yang sanggup. Mereka sanggup kerana mereka berada dalam keadaan tenang, aman, nyaman, sejuk. Siapa mereka? Mereka adalah salah seorang daripada 7 golongan yang bertuah tadi,” Ustaz Ahmad mengakhiri kuliahnya.

CATATAN KAKI
Daripada Abi Hurairah (ra) bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Ada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindungan-Nya:Imam (pemimpin) yang adil.
• Pemuda yang sentiasan taat kepada Allah (bertakwa)
• Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid (taat kepada perintah Allah)
• Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah.
• Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik untuk melakukan maksiat (zina), lalu ia berkata: “Aku takut kepada Allah”.
• Orang yang bersedekah secara sembunyi dan tidak menunjuk-nunjuk (ditamsilkan sebagai tidak mengetahui tangan kirinya apa yang diberi oleh tangan kanannya)
• Orang yang bermunajat kepada Allah sambil menggelinangkan airmatanya.
[Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim]

No comments:

Post a Comment