03 January 2010
SELAMAT BERKUNJUNG...
Kota Puteri bakal menjadi satu lagi mercu tanda kejayaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam pembangunan sektor hartanah.
Apabila kawasan pembangunan baru ini, yang merangkumi keluasan 820 hektar, siap sepenuhnya menjelang 2020, Kota Puteri dijangka berupaya menempatkan sejumlah 50,000 penduduk.
Kewujudannya membuktikan usaha kerajaan negeri ke arah mengimbangi pembangunan di luar Lembah Klang sekali gus menjadi nukleus penggerak pembangunan di Koridor Utara Selangor.
Kota Puteri, yang mula dibangunkan pada 1991, dirancang begitu terperinci berasaskan pembangunan bercampur yang merangkumi perumahan pelbagai jenis, prasarana yang mencukupi, perdagangan dan institusi, serta kemudahan asas yang moden.
ANUGERAH ALAM
Dengan kedudukannya yang strategik antara Kuala Selangor, Batu Arang dan Shah Alam yang sedang mengalami kerancakan pembangunan, Kota Puteri adalah satu pembangunan yang menjanjikan lebih daripada hanya sebuah tempat tinggal.
Dengan lokasi yang dikelilingi hutan dara menghijau, perbukitan saujana mata memandang, pokok yang rendang merimbun serta pemandangan sekeliling yang indah lagi nyaman, Kota Puteri adalah anugerah alam yang mendamaikan.
Ciri-ciri alam sekitar ini bukan sahaja menarik perhatian penghuni yang bakal mendiami kawasan ini, malah sang unggas dan serangga daripada pelbagai spesies rama-rama yang berwarna-warni juga tertarik dengan kelainan ini.
LOKASI IDEAL
Kedudukannya di Batu Arang, Daerah Gombak di sebelah barat Pekan Rawang dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) memberikan Kota Puteri lokasi strategik serta mudah dihubungi melalui rangkaian lebuh raya yang cekap.
Selain Lebuh Raya PLUS, Kota Puteri dihubungkan dengan Jalan Kuala Selangor-Sungai Buloh dan Kuala Lumpur- Bestari Jaya-Rawang, Lebuhraya Guthrie Koridor ke Shah Alam, Jaringan Lebuhraya Shah-Alam-Batu Arang dan Lebuhraya Assam Jawa-Batang Berjuntai, yang masih dalam pembinaan. Dengan rangkaian lebuh raya tersebut, perjalanan ke Kuala Lumpur hanya mengambil masa 45 minit sahaja.
Lokasi yang selesa dan mudah dituju adalah ciri pelaburan yang bijak. Sama ada sebagai rumah kediaman sekeluarga atau untuk pelaburan masa depan, ia menjanjikan pulangan yang menguntungkan.
Di Kota Puteri juga, para penduduk berpeluang menikmati segala kemudahan asas yang menjanjikan kehidupan selesa. Dengan kampus institusi pengajian tinggi Universiti Industri Selangor (UNISEL) dibina berhampiran dan kemudahan rekreasi di tasik yang menawan, penduduk akan didampingi suasana santai tetapi teratur dan ceria.
Lebih menggembirakan, semua elemen pembangunan yang dirancang tidak mengabaikan aspek alam sekitar dan kejiranan. Dengan itu, penduduk Kota Puteri dapat menikmati kehidupan moden dalam suasana kedesaan yang tenang dan harmoni. Ini sukar ditemui dalam satu pembangunan baru yang komprehensif.
Sumber: Bernama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment