Sumbangan anda boleh disalurkan terus ke akaun Surau Al-Falah (CIMB): 1201 0000 2382 08 dan Kafa Al-Falah (CIMB): 12010004503208

15 March 2010

Syafaat Uzma Untuk Umat Akhir Zaman

Rasulullah telah lama wafat. Pastinya umat Muhammad s.a.w. zaman kini tidak dapat menyaksikan syafaat sugra sepertimana yang pernah berlaku pada zaman bermulanya Islam yang telah menyatukan kaum Ansar dan Muhajirin dan kejayaan menyebarkan Islam ke seluruh dunia.

Menurut seorang pendakwah bebas, Ustaz Hj Hasan Mahmud Al-Hafiz, untuk umat akhir zaman ini, Nabi s.a.w. menjanjikan syafaatnya kepada mereka yang benar-benar menjalani kehidupan menurut sunnahnya, mengamalkan setiap ajaran Islam dan bersungguh-sungguh berselawat ke atasnya.

“Syafaat yang Rasulullah maksudkan ini ialah syafaat uzma iaitu syafaat yang Nabi beri pada hari akhirat kepada umat yang terpilih,” katanya.

Syafaat ini adalah sebagai tanda sayangnya Nabi s.a.w. kepada seluruh umatnya, lebih-lebih lagi umat yang tidak pernah melihatnya tapi beriman sungguh-sungguh dengannya, iaitu umat akhir zaman, umat masa kini hinggalah menuju hari kiamat.

Ustaz Hj. Hasan berkata, untuk mendapat syafaat uzma Nabi s.a.w., kita hendaklah membanyakkan istighfar dan bertaubat memohon keampunan kepada Allah bersungguh-sungguh melalui tiga proses:

1. Takhalli – mesti bersihkan diri sungguh-sungguh dari segala dosa. Berjanji tidak akan mengulangi segala kejahatan yang pernah dilakukan sama ada dosa kecil atau dosa besar.

2. Tahalli – mengisi dalam diri dengan memperkemaskan amal ibadah wajib,
memperbanyak amalan sunat, banyakkan selawat ke atas Nabi s.a.w. dan solat malam semoga terbuka hijab di antara kita dengan Allah. Allah sayang, Nabi pun sayang.
Mengamalkan puasa sunat juga dapat menyucikan batin (hati) kerana hati yang sakit sukar mendapat pertolongan Allah. Jika hati sihat dan bersih, minta apa pun akan mudah dimakbulkan oleh Allah.

3. Tajalli – penghayatan, merasakan Allah berada di mana-mana sahaja, rasa diri diperhatikan-Nya setiap saat dan ketika. Buat apa sahaja ingat Allah, ingat Rasulullah. Seakan ternampak malaikat Rakib dan Atid yang menjaga diri mencatat setiap perbuatan.

Rindu dan kasih pada Allah dan Nabi ibarat orang yang kenal buah; dapat dipegang, dapat dirasa dan terus ingat kepada Penciptanya. Tahap ini buat apa pun asyik ingat Allah. Kasih pada Allah sangat mendalam.

Melihat wajah orang yang rindu kasih pada Allah hati kita jadi tenang. Umpama penawar.

(petikan majalah Anis)

No comments:

Post a Comment