Sumbangan anda boleh disalurkan terus ke akaun Surau Al-Falah (CIMB): 1201 0000 2382 08 dan Kafa Al-Falah (CIMB): 12010004503208

07 March 2010

PENGARUH SEORANG SURI RUMAH

OLEH USTAZ AMALUDDIN MOHD NAPIAH
Seorang ibu itu mempunyai darjat tiga kali lebih tinggi daripada darjat seorang bapa.

Ini dapat disimpulkan daripada apa yang disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.

Kedudukan ini harus difahami dan dibanggai oleh setiap wanita yang bergelar ibu.



Dalam hadis yang lain pula baginda menyebutkan lagi bahawa syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Ini bermakna, masuknya seorang anak ke dalam syurga itu bergantung di atas keredhaan ibunya.

Redha ibu, maka redhalah Allah. Murka ibu, maka murkalah Allah. Lihatlah betapa Allah memuliakan seorang insan yang bergelar ibu sampai menjadikan keredhaan-Nya bersyaratkan keredhaan ibu.

Manakala dalam satu hadis mashyur yang lain, wanita (isteri) dikatakan sebagai ‘pemimpin’ di rumah atau ‘pentadbir’ di dalam pentadbiran ‘kerajaan’ suaminya.

Keterangan-keterangan hadis ini sebenarnya boleh menjadi motivasi dan penawar kepada setiap ibu dan isteri, khasnya ibu dan isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa.

Mereka patutlah berasa syukur dan bergembira dengan medan ibadah, jihad, pahala dan amal soleh yang luas yang diperuntukkan Allah s.w.t. khas buat mereka.

Saya sebut begitu kerana kedapatan suri rumah sepenuh masa yang dibumbu rasa jemu, lesu atau beranggapan khidmat dan pengorbanan yang dicurahkan terhadap keluarga selama ini sia-sia sahaja (tiada nilai apa-apa di sisi agama.)

Sekiranya mereka tahu ganjaran besar Allah di atas khidmat, kasih sayang dan pengorbanan mereka itu, nescaya ada di kalangan mereka nanti yang akan memohon kepada Allah agar dikembalikan sekali lagi ke atas dunia sesudah kematian pertama.

Supaya mereka dapat menjadi ibu yang terbaik untuk kesekian kalinya. Pelik, bukan?

Sepanjang sejarah, terdapat ibu-ibu yang begitu arif tentang kedudukan, peranan dan tanggungjawab mereka.

Di tangan ibu-ibu yang arif ini lahirnya insan-insan agung seperti para nabi dan rasul, Sahabat-sahabat dan para muttaqin yang mulia seperti Sayidina Hasan dan Husin r.a., Imam as-Syafi’i, Solahuddin al-Ayubi, al-Farabi, al-Khawarizmi, Imam Malik, Imam al-Ghazali, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dan ramai lagi.

Insan-insan agung ini mempunyai pengaruh yang besar dalam mencorak masyarakat pada zaman masing-masing dan sesetengahnya masih dirujuk serta diteladani zaman-berzaman.

Ini menggambarkan juga pengaruh besar wanita di belakang tabir yang melahirkan, menyusui dan membesarkan mereka.

(Rencana Ihsan Majalah Anis)


No comments:

Post a Comment